"Ustaz tayang video lucah" Begitulah tajuk muka 3 sebuah akhbar hari ini yang mendakwa lebih 20 orang murid dipertontonkan adengan tidak senonoh di dalam bilik multimedia di sebuah sekolah kebangsaan di Daerah Rembau Negeri Sembilan. Akhbar ini mendakwa lagi seorang bapa diberi tahu oleh anaknya video itu mengandungi adengan hubungan seks dan artis mendedah payu dara. Rakan-rakan anaknya turut mengiyakan perkara tersebut. Menurut akhbar itu lagi, bapa berkenaan membuat laporan polis kerana aduannya kepada pihak sekolah tidak dilayan sebaliknya dia disuruh mendiamkan diri.
Berita seperti ini seringkali kita dengar. Setelah dilakukan penyiasatan ada yang benar dan ada yang tidak benar. Ada pula kes yang berlaku salah faham dan salah tafsir. Bila dikatakan pihak sekolah tidak melayan aduan, perkara ini juga boleh berlaku sebaliknya. Apapun bagi menyelesaikan perkara ini satu penyiasatan wajib dilakukan dan hasil penyiasatan dan keputusannya juga mestilah dilaporkan oleh akhbar yang sama. Perkara ini melibatkan maruah dan nama baik individu yang bernama guru, ustaz, dan sebuah institusi yang penting dalam masyarakat. Berita seperti ini tidak patut di disensasikan atau dimanipulasikan untuk kepentingan sesuatu pihak. Sekiranya benar perkara ini berlaku, ia tidak harus disembunyikan dan mestilah diambil tindakan oleh pihak yang berwajib.
Di zaman sekarang ini, perkara seperti yang diandaikan, boleh berlaku di mana-mana sahaja; di sekolah, di pejabat, di rumah malah dalam kereta mahupun di tempat awam kerana alat mutimedia yang canggih boleh dibawa ke mana-mana termasuk telefon bimbit. Walaubagaimanapun adalah satu perkara yang sangat janggal sekiranya seorang ustaz mengumpulkan murid lebih daripada 20 orang dalam bilik multimedia untuk di tayangkan video seks lucah. Bilik Multimedia di sekolah bukan sahaja di gunakan oleh seorang guru atau murid-murid tertentu sahaja tetapi boleh digunakan oleh semua murid dan semua guru. Bodohlah ustaz itu kalau dia berbuat seperti itu. Namun begitu penyiasatan mesti dilakukan segera kerana seluruh negara telah mengetahui berita yang mengaibkan ini. Minggu depan, Jabatan Pelajaran Daerah, JPN dan semua warga sekolah berkenaan akan 'panas ponggong' dengan laporan polis yang telah dibuat ini.