Malaysia No. 139 dunia

SKUAD negara kini berada pada ranking ke-139 dunia.
SKUAD bola sepak kebangsaan kini berada di ranking ke-139 dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.
Di peringkat Asia, Malaysia kini menduduki tangga ke-25 tetapi di kalangan negara-negara Asia Tenggara pula, Malaysia masih berada di ranking kelima di belakang Thailand (ke-104 dunia), Singapura (ke-120 dunia), Vietnam (ke-127 dunia) dan Indonesia (ke-135 dunia).
Jumlah perlawanan kelas A yang terlibat mempengaruhi kedudukan pada ranking tersebut. Tahun ini baru dua perlawanan dilalui selepas lapan bulan berlalu. Dua aksi tersebut ialah bertemu UAE (tewas 0-1) di Dubai pada 6 Januari dan bertemu Yemen (menang 1-0) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Februari lalu.
Andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengatur aksi-aksi persahabatan kelas A berdepan pasukan yang lebih tinggi ranking seperti India, Indonesia, Hong Kong, Vietnam dan Singapura, pasti kedudukan Malaysia akan lebih baik selepas ini. Saingan Sukan Asia 2010 November depan tidak dikira untuk pungutan mata ranking FIFA.
Sementara itu, kedudukan 10 pasukan teratas dalam senarai ranking terbaru FIFA semalam langsung tidak berubah dengan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol masih menduduki tangga teratas. diikuti Belanda, Brazil, Jerman, Argentina, Uruguay, England, Portugal, Mesir dan Chile.
Suntingan Daripada : Kosmo Online
Ulasan Cpj: OK atau KO bergantung kepada bagaimana FAM mengambil erti terhadap ranking yang diperoleh oleh pasukan negara. Kedudukan pada tangga tersebut hanya bermakna sekiranya peluang tersebut diambil sebagai penggalak kepada pengaturan lebih banyak pertandingan pada kelas A supaya kemajuan tersebut dapat ditingkatkan dari masa ke semasa disamping memberi pengalaman yang lebih kepada pemain bermain pada peringkat yang lebih tinggi. Disamping itu, aspek keyakinan, penerimaan dan penghargaan oleh pemain, jurulatih dan penyokong akan menyemarakkan lagi kecemerlangan pemain dan pasukan negara sekiranya peningkatan pada ranking dilihat lebih progresif.
Pemain-pemain(termasuk jurulatih) mestilah didedahkan dengan pelbagai aspek pengalaman yang berkaitan, bagaimana kehidupan seorang pemain pro yang bertaraf dunia. Tidak keterlaluan kalau cpj kata, pendedahan itu dibuat sehinggalah para pemain negara melihat sendiri bagaimana corak atau gaya hidup seharian pemain-pemain yang telah mencapai tahap dunia. Daripada Program Latihan Setahun/Semusim, Jadual latihan harian, corak latihan kemahiran dan kecergasan, latihan-latihan mental & psikologi, pemakanan, penjagaan kesihatan, rekreasi sehinggalah kepada tempat tinggal dan kegiatan seharian yang lain. Pendek kata, nak jadi pemain pro yang bertaraf dunia, mestilah ada gaya hidup tersendiri sebagai pemain pro bertaraf dunia, yang berlainan sama sekali dengan gaya hidup orang biasa. Sekiranya kita dapat lakukan ini, barulah bermakna pasukan kita dilihat berada dalam sesuatu ranking.