Friday, July 10, 2009 Oleh OTAM 67;
Thursday, April 27 2011 Diterbitkan semula oleh cikgupj.
FITNAH ADALAH HARAM DAN TERMASUK
DALAM DOSA BESAR
MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh
keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala
suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa
dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wata'ala kerana telah melimpahkan nikmat
yang tidak terkira banyaknya kepada kita.
Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan
Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-Nya
ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat
yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga
dan menggunakannya ke arah tujuan yang
sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu
Wata'ala, membaca Al-Qur'an, berdakwah menyeru
manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi
nasihat serta teguran yang berguna kepada
sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan
nikmat yang amat berharga kerana itu kita
hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya,
jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.
Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi
ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan
lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi
maklumat, sama ada melalui media cetak mahupun
media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta
untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan
menyebarkan apa jua berita dan maklumat
tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita,
sama ada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun
di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan
kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana.
Namun apa yang membimbangkan pada masa ini
terdapat segelintir masyarakat yang tidak
bertanggungjawab dan menyalahgunakannya
untuk menyebarkan berita-berita yang tidak
benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi
unsur-unsur fitnah.
Kita perlu mengetahui bahawa fitnah itu adalah satu
perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah
seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah
dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk
memburukkan atau membencanakan seseorang
dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan
sesuatu untuk memburuk-burukkan atau membencanakan
sesuatu pihak yang dilakukan sama ada dengan perkataan
atau tulisan atau isyarat dan gerak-geri dan sebagainya,
sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau
kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah
itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut
atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram
dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman
Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10 - 11
tafsirnya:
"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu
bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci,
lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan."
Diriwayatkan daripada Khuzaifah Radiallahuanhu,
beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah
(mengadu domba)." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan
bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat
dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian,
kita hendaklah memelihara diri dan keluarga
kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila
disampaikan kepada kita suatu berita yang
memburuk-burukkan orang lain, maka kita
hendaklah memelihara diri kita daripada
mendengarnya dan menghebah-hebahkannya
kepada orang lain.
Memang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan
kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat,
sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri
dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita
yang diperbualkan ketika bertemu, sama ada
ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti
majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di
kedai-kedai kopi dan sebagainya. Dalam hal
sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang
boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang
direka-reka, memburuk-burukkan orang
lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita
hendaklah berusaha mengelakkan diri
daripadanya, seperti tidak membenarkan atau
mempercayai apa yang disampaikan itu, kerana
orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk
dalam golongan orang-orang yang fasiq dan
berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh
dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang
membawa fitnah itu daripada meneruskan
perbuatannya dan menasihatinya serta
menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya
itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula
cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah
itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki
dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam
Surah Al-Hujuraat, ayat 12 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan
yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip
atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain."
Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya
diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah
lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah
fitnah semata-mata. Maka jika mendengar sesuatu
cerita, berita atau khabar-khabar angin, yang mana
cerita, berita atau khabar-khabar angin itu boleh
menyebabkan hati orang yang dijadikan bahan cerita
itu tidak tenteram, mencemar maruah dirinya dan
sebagainya, maka hendaklah orang yang mendengar
cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak
menceritakan atau memanjang-manjangkan
lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana
kita tidak suka diri kita diperkatakan orang,
sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang
orang lain.
Jika difikirkan apakah kebaikan yang boleh
diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian?
Ianya tidak lain hanyalah menggembirakan orang
yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka
itu telah terpedaya oleh syaitan sehingga pandangan
mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang
mereka lakukan seolah-olah tidak salah, tetapi sebenarnya
adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan
sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan
undang-undang dalam bernegara juga menegahnya
dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika
fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan
keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan
bernegara. Begitu juga dengan perbuatan mereka-reka
dan menyebar khabar angin, baik dilakukan secara
individu atau kumpulan yang bertujuan untuk
memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat
mana-mana pihak. Maka dalam hal ini, perbuatan
tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang
berkenaan sebagai langkah dalam memastikan
keharmonian dan ketenteraman awam.
Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu
peristiwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, yang lebih dikenal dalam kitab-kitab
Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai
hadisul ifki bilamana terjadinya fitnah ke atas isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu
Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha.
Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina 'Aisyah
Radiallahuanha telah difitnah oleh orang-orang
munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai
bin Salul dan beberapa orang di kalangan Muslimin
telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang
disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan
bahawa Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha telah
berlaku curang atau membuat hubungan sulit
dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan
amanah iaitu Safwan bin Muaatal. Akhirnya
Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat 11 - 20,
Surah An Nuur sebagai penjelasan bersihnya
Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha di atas fitnah
yang dilemparkan ke atasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam ayat 19,
Surah An Nuur tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya
tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan
orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan
di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala
perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian."
Membuat fitnah itu dipandang berat dan dilarang
oleh agama Islam, sebab ia boleh menimbulkan
permusuhan dan permusuhan pula boleh
menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara.
Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak
berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab
di akhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua
anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi
saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu
Wata'ala pada Hari Kiamat.
Akhirnya peliharalah diri kita dari perbuatan fitnah
dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga
kita dan masyarakat dengan saling menasihati
dan tegur-menegur terhadap perbuatan yang
membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi
membawa kepada dosa-dosa besar seperti
membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan
amalan sedemikian, kita dapat menikmati
kehidupan yang aman tenteram dan sentiasa
mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah
Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subahanhu Wata'ala dalam Surah
Al- Baqarah ayat 191, tafsirnya:
"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar
bahayanya daripada pembunuhan."
Terima kasih kepada OTAM 67:


0 comments:
Post a Comment
Sudi-sudilah memberi komen, cpj sangat-sangat menghargainya.