Sudah beberapa hari ayah tidak menoreh getah mahupun ke bendang kerana kesihatannya kurang mengizinkan. Aku semuda umurku lima tahun sudah cukup mengerti sikap ayah yang sangat rajin bekerja pagi dan petang. Setiap hari ayah akan bangun seawal pukul dua pagi untuk pergi menoreh getah di sebuah bukit yang terletak di lembah yang indah berhampiran sungai Perak yang terletak antara dua banjaran gunung. Sebelah petang pula ayah akan ke bendang di tepi gunung mengerjakan sawah peninggalan nenek. Bendang yang terbentang indah dari anak sungai yang jernih dan sejuk di tepi kampung hinggalah ke gunung-gunung antara banjaran gunung yang merupakan lanskap yang paling indah yang pernah aku temui. Kawasan sawah yang terbentang luas ditepi banjaran gunung yang indah ini telah diusahakan turun temurun sejak nenek moyang lagi. Ayah duduk menyandar di dinding, sambil menyedut rokok daun. Seperti biasa, sekiranya ayah ada masa terluang mulalah dia menceritakan apa sahaja demi mendidik aku anak kesayangannya yang dipanggil dengan panggilan manja 'adik'.
Lembah indah antara dua banjaran gunung yang merentang sepanjang tengah semenanjung, di jalari pula oleh beberapa batang anak sungai yang kecil sehingga bercabang bertemu sungai yang terbesar di negeri perak; di situlah terletaknya sebuah kampung kelahiran ku yang amat indah bak syurga. Kampung taman beraneka jenis buah-buahan yang besar pokoknya bak balak mencakar langit dan mengalir di dalamnya anak sungai yang jernih lagi sejuk yang dipenuhi dengan anak-anak ikan yang berkejar-kejaran. Gunung-gunung di sekitar kampung pula mempunyai gua-gua yang indah dengan pelbagai cerita turun-temurun. Ayah sering menceritakan kepada aku tentang gunung, tentang sungai, tentang bukit dan tentang hutan serta pelbagai makhluk dan peristiwa yang berkaitan dengan tempat-tempat tersebut, menunjukkan ayahku mempunyai ilmu dan pengalaman yang mendalam dalam dunia kehidupannya.
Aku sangat kagum dan bangga mempunyai seorang ayah yang aku anggap sangat hebat dan mempunyai pelbagai ilmu dan pengalaman sejak zaman British, kedatangan Jepun sehinggalah Negara ini mencapai kemerdekaan dan menjadi negara membangun. Hubungan aku dan ayah menjadi sangat rapat, sejak kecil aku belajar daripada ayah pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sehingga aku menjadi yakin untuk hidup sebagai seorang lelaki...
Bersambung...


0 comments:
Post a Comment
Sudi-sudilah memberi komen, cpj sangat-sangat menghargainya.