
Seorang peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Salawati berkata, kejadian seumpama itu tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa akan datang. Justeru, dia meminta agar jawatankuasa penduduk dapat membuat kawalan atau rondaan di kawasan sekitar Kampung Baru. "Saya mempunyai anak perempuan. Saya takut kerana benda ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Penjahat sekarang tidak memilih orang.“Jadi saya harap tingkatkan kawalan dan saya nasihatkan penduduk sentiasa menutup pintu.
Saya juga meminta agar pihak polis turut membuat rondaan," katanya. Selain itu, seorang peniaga kuih-muih, Rosinah Abu Samah, 47, berkata, dia turut mengharapkan agar kawalan keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan walaupun ia agak sukar untuk dilakukan. Katanya, Kampung Baru mempunyai banyak jalan keluar-masuk dan dia khuatir ia akan menyukarkan pihak yang menjaga keselamatan. "Saya dah lama tinggal sini. Saya rasa kawalan keselamatan perlu ada. Tetapi di sini banyak jalan keluar, masuk. "Pergi sana keluar Keramat, sana pula ke Ampang. Jadi saya harap mereka yang membuat kawalan pandai untuk mengawal keselamatan di sini.
Yang penting saya juga harapkan agar penduduk akan sepakat menjaga kawasan masing-masing," katanya. Dalam pada itu, seorang suri rumah, Hasnah Abu Bakar, 50, berkata, dia yang baru tiba dari Kedah terkejut dengan berita yang menimpa jirannya. Dia turut dinasihatkan oleh anaknya agar sentiasa berhati-hati. Bagaimanapun, Hasnah berkata, untuk membuat kawalan keselamatan di kawasan sekitar Kampung Baru adalah sukar. "Cuma saya harapkan agar penduduk sendiri perlu berhati-hati. Saya sendiri terkejut dengan kejadian yang terjadi semalam (kelmarin)," katanya.
CPJ: Penduduk Kampung Baru sepatutnya sudah lama lahirkan kebimbangan mereka dan bersatu untuk membuat resolusi yang baik untuk masa depan kampung mereka. Masalah Kampung Baru sudah lama dibincangkan dan akan terus menjadi isu yang rumit. Kedudukan dan suasana kampung yang mundur di tengah bandaraya yang menjadi ibu negara Malaysia menjadi satu yang amat penting untuk diberi perhatian. Keunikan kampung melayu itu patut dikekalkan tetapi bukan dalam keadaan tidak teratur, tidak terurus, tidak selamat, tidak menarik dan yang paling sedih tidak memberi imej yang baik kepada Melayu dan budaya Melayu Islam. Kesedaran harus ada pada setiap individu yang menjadi penduduk Kampung Baru, dan juga semua pihak termasuk pihak kerajaan yang sepatutnya membela nasib kaum Melayu.


0 comments:
Post a Comment
Sudi-sudilah memberi komen, cpj sangat-sangat menghargainya.