KUALA SELANGOR - Seorang pelajar kolej menceritakan detik cemas bersama anggota keluarga ketika disamun empat penjenayah bersenjata, tiga daripadanya ditembak mati oleh polis awal hari ini di Kampung Parit Mahang di sini. Mohd Aminudin Abdul Rahim, 20, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sri Gading, Johor, berkata dia bersama seorang adiknya sedang tidur di tingkat atas rumah ketika dikejutkan oleh seorang penjenayah terbabit kira-kira pukul 3 pagi. "Penjenayah itu bersama tiga lagi rakan lain yang memegang parang, sabit dan kuku kambing kemudian membangunkan anggota keluarga saya yang lain termasuk bapa, Abdul Rahim Din, 46, dan ibu Noryatimah Jamal, 42. "Keempat-empat mereka, seorang memakai topeng, menghimpunkan kami di ruang tamu. 


Tangan saya diikat dengan kabel komputer riba dan menggunakan kain batik mengikat bapa dan seorang adik lelaki. "Namun emak dan tiga lagi adik saya berumur antara setahun lima bulan hingga 10 tahun tidak diapa-apakan. Saya terdengar penjenayah berkata yang emak saya ada anak kecil," kata Aminudin ketika ditemui di rumahnya. Menurut pelajar itu, kesemua mereka dipaksa menyerahkan barang kemas dan setelah diberitahu tiada emas, kesemua lelaki itu terus menggeledah rumah serta mengambil komputer riba, enam telefon bimbit dan wang tunai kira-kira seribu ringgit. "Lelaki-lelaki tersebut meminta kunci kereta dan menggeledah serta mengambil sebuah lagi telefon bimbit dari dalam kenderaan. Jumlah kerugian kira-kira RM10,000 semuanya," kata pelajar itu. 


Mohd Aminudin berkata selepas menggeledah selama kira-kira setengah jam, keempat-empat lelaki itu meninggalkan rumah mereka menaiki sebuah kereta membawa bersama barang-barang serta wang tunai. Pelajar itu berkata dia kemudian cuba mengejar penjenayah tersebut menaiki motosikal sejauh dua kilometer dan bertemu polis dalam kereta peronda yang menyuruhnya meninggalkan kawasan itu. Mohd Aminudin kemudian terdengar bunyi empat das tembakan dan diberitahu bahawa polis menambak mati tiga lelaki di satu kawasan ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya sementara seorang rakan penjenayah berjaya melarikan diri dan sedang diburu polis. - Bernama@SH



Detik dramatik empat penyamun ditembak polis
KUALA SELANGOR: Polis menembak mati tiga penjenayah yang dipercayai terbabit menyamun sebuah rumah di Kampung Berkat di sini dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang di sini awal hari ini. Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kira-kira lima kilometer dari lokasi samun, seorang lagi rakan penjenayah bagaimanapun berjaya melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah ketika ditemui pemberita di sini hari ini, berkata tiada rekod pengenalan diri ditemui pada mayat tiga penjenayah terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an.  

Sebelum kejadian berbalas tembakan itu, polis yang menerima maklumat bahawa sebuah keluarga di Kampung Berkat disamun telah terserempak dengan kereta Proton Wira dinaiki keempat-empat suspek ketika melakukan rondaan.  Dalam kejadian samun itu, empat penjenayah berkenaan, seorang daripada mereka bertopeng, dilaporkan telah mengikat seorang daripada mangsa serta melarikan beberapa barangan seperti komputer riba, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dari rumah berkenaan. Polis dalam cubaan menahan suspek kemudian terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh tiga kilometer sebelum kereta Proton Wira berkenaan terbabas.  "Empat lelaki kemudian keluar dari kereta itu dan dua daripada mereka telah melepaskan tembakan. 

Polis terpaksa membalas tembakan dalam usaha menyelamatkan diri dan tiga daripada mereka berjaya ditembak mati di tempat kejadian," katanya, sambil menambah bahawa usaha memburu suspek keempat sedang digiatkan.  Mohd Adnan berkata polis merampas dua pucuk pistol dan sebilah parang daripada ketiga-tiga penjenayah yang ditembak mati itu.  Pemeriksaan ke atas kereta berkenaan turut menjumpai sebuah komputer riba, telefon bimbit, kad pengenalan dan wang tunai dipercayai milik tuan rumah yang disamun sebelum kejadian tembak itu.  "Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 13 kes samun direkodkan di Selangor. 


Dengan terbunuhnya penjenayah ini dipercayai polis berjaya selesaikan lima daripada 13 kes samun itu," katanya- Bernama@HM

CPJ: Sejak dulu, kini dan selamanya, penjenayah tidak akan sejahtera hidup bebas dan tidak akan hidup lama, oleh yang demikian janganlah jadi penjenayah dan ajarkanlah anak-anak supaya benci kepada jenayah. Benci jenayah bermaksud kena buat baik, ajak orang buat baik, jauhi kejahatan dan cegah orang lain berbuat kejahatan. Bukankah itu yang diajar oleh Islam?